Kuala Lumpur: Syarikat tenaga Malaysia, Petronas menyatakan ia sedang mengambil langkah-langkah untuk melindungi semua aset globalnya selepas dua anak syarikat yang berpengkalan di Luxembourg diberikan notis penyitaan.
Notis penyitaan ini telah dikeluarkan oleh bailif mahkamah keatas kedua-dua anak syarikat Petronas ini. Tindakan merampas aset kerajaan Malaysia ini merupakan usaha waris kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah Perancis pada Februari yang lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut melalui e-mel pada hari Isnin yang lalu, ” Petronas mempertikaikan kesahihan tindakan penguatkuasaan tersebut terhadap dua anak syarikatnya dan sedang meneliti semua langkah yang perlu dilakukan untuk mempertahankannya”.

Selain itu, mahkamah tersebut turut mengarahkan agar Malaysia membuat pembayaran sebanyak $14.9 bilion dolar kepada perwaris kesultanan Sulu sebagai menghormati perjanjian yang telah dimeterai dengan sebuah syarikat perdagangan British pada tahun 1878 berhubung penggunaan wilayahnya, yang kini dikenali sebagai Sabah.
Malaysia telah mengambil alih pengaturan pembayaran pampasan tahunan kepada waris kesultanan Sulu selepas menandatangani perjanjian kemerdekaan daripada Britain. Namun pembayaran tersebut telah dihentikan pada 2013 dan berpendapat bahawa tiada pihak luar yang berhak ke atas negeri yang kaya dengan hasil minyak itu yang merupakan sebahagian daripada wilayahnya.
Mahkamah rayuan Perancis juga telah memerintahkan agar menangguhkan kes itu pada selasa lalu. Tetapi peguam kepada waris kesultanan Sulu telah berkata bahawa anugerah tersebut tetap boleh dikuatkuasakan di luar Perancis, di bawah perjanjian PBB mengenai timbang tara yang diiktiraf di 170 negara.