23 C
Malaysia
Friday, April 19, 2024

Panduan Pasangan Muda Merancang Kewangan

Mesti Baca

Setiap pasangan pastinya mempunyai majlis perkahwinan idaman kerana ia berlaku sekali dalam seumur hidup. Namun begitu dalam merancang majlis perkahwinan dan rumahtangga, masih ramai pasangan muda melakukan kesilapan dalam pengurusan kewangan yang boleh menjejaskan hubungan mereka. Apakah cara yang terbaik untuk anda bebas dari masalah kewangan dalam pengurusan rumahtangga?

Fahami Bagaimana Pasangan Membelanjakan Wang

Sememangnya apabila sebut pasal wang, ini merupakan isu paling sensitif bagi sesetengah pasangan. Setiap pasangan harus memahami perbelanjaan masing-maisng sebelum mengambil keputusan untuk berkongsi komitmen kewangan bersama.

Anda harus memahami tabiat perbelanjaan pasangan agar mudah untuk merancang hal kewangan dengan lebih berkesan. Berkomunikasi dalam hubungan amatlah penting untuk mengelakkan perselisihan faham lebih-lebih lagi berkaitan kewangan. Perbelanjaan bulanan haruslah dirancang bersama sebaiknya menggunakan Tips Bajet 50/30/20 sebagai panduan.

Bincang Sebelum Kahwin

Komunikasi amatlah penting. Perbincangan boleh sahaja dibuat sebelum perkahwinan anda. Lebih awal anda mencapai kata sepakat dengan pasangan anda, lebih senang perhubungan anda terutama dari aspek kewangan. Bincangkan sejarah kewangan masing-masing termasuklah topik yang digeruni iaitu hutang. Kejujuran pasangan amatlah penting dalam menangani masalah di kemudian hari.

Bincangkan Matlamat Kewangan

Disarankan anda untuk meluangkan masa setiap bulan untuk duduk berbincang tentang soal perbelanjaan dan simpanan. Bersama mengatur kewangan agar jelas tanpa sebarang selindung dan ketidakpuasan masing-masing. Mungkin ada masanya anda berkeinginan untuk melancong atau membeli barang baharu, lebih mudah jika direalisasikan bersama. Ternyata anda dan pasangan matang dalam menangani aspek kewangan bersama jika berjaya.

Belanjawan yang Realistik

Mulakan belanjawan anda dengan lebih realistik sebagai contoh langkah pertama anda melihat gaji bulanan anda dan pasangan kemudian rekod semua perbelanjaan wajib bersama.

Jika anda sedang merancang perkahwinan, fikirkanlah jumlah yang mampu sahaja selepas membayar semua komitmen wajib setiap bulan seperti kereta, bil bulanan dan lain-lain. Jangan lupa untuk menyimpan wang kecemasan walaupun anda mempunyai pelan insurans dan sebagainya.

Pastikan Jujur dan Terbuka

Setiap hubungan memerlukan kejujuran dan sifat terbuka untuk memudahkan komunikasi. Apa sahaja isu tersorok terutamanya berkaitan hutang atau perbelanjaan pastinya mendatangkan kerumitan dan merosakkan pelan kewangan bersama. Oleh itu, pastikan anda dan pasangan mengamalkan sifat terbuka dan tidak berahsia. Inilah peluang bagi menilai semula pelan kewangan bersama agar ia memenuhi kehendak dan gaya hidup anda bersama.

Perancangan Keluarga Lebih Awal

Pastinya setiap pasangan mahukan cahaya mata selepas perkahwinan. Namun begitu kos membesarkan anak adalah sangat tinggi di Malaysia. Perancangan yang ideal perlu bermula sebelum anda mempunyai anak agar anda mampu membina kewangan yang kukuh sebelum menghadapi waktu tersebut.

Setiap perbelanjaan untuk anak perlulah dimasukkan dalam komitmen bulanan tetap anda. Ini kerana ia merupakan kewajipan yang harus anda dahulukan. Elak menggunakan duit simpanan kecemasan untuk membeli keperluan anak bagi mengelakkan sebarang kerumitan kemudian hari.

Melabur dengan Bijak

Kadangkala anda akan menghadapi masalah sukar yang tidak dijangka akan berlaku. Amat penting bagi anda memiliki sejumlah wang untuk masa kecemasan. Seeloknya anda memiliki simpanan atau pelaburan yang bijak untuk membantu anda sewaktu susah.

Pemilihan pelaburan amatlah penting untuk mengelakkan anda mengalami kerugian dan ditipu. Dapatkan nasihat daripada orang yang berpengalaman dan boleh dipercayai dan mulakan pelaburan demi keluarga dan masa depan. Ini termasuklah jaminan keluarga anda jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kematian dan kecacatan kekal.

- SOSIAL MEDIA -spot_img

Artikel Selanjutnya

- SOSIAL MEDIA -spot_img

Artikel Terkini