Kiev – Presiden Ukraine,Volodymyr Zelensky, telah menggesa agar Eropah terus mengukuhkan sekatan ke atas Moscow sebagai tindak balas terhadap ‘perang gas’ yang dilakukan oleh Rusia.

Sebelum ini, Rusia telah memberi ancaman ke atas negara-negara Eropah bersatu dengan melancarkan pemotongan penghantaran gas secara terbuka oleh Gazprom.
Syarikat gergasi tenaga milik Rusia, Gazprom, turut menyatakan bahawa pihaknya akan memotong penghantaran gas ke Eropah menerusi saluran paip Nord Stream kepada 33 juta kubik meter sehari atau hanya 20% daripada keupayaan saluran paip tersebut.

Gazprom turut mengeluarkan kenyataan ke atas tindakan pemotongan penghantaran gas yang berlaku dengan memberi alasan menghadapi masalah teknikal melibatkan enjinnya.
Namun kenyataan tersebut terus dibidas oleh kerajaan Jerman yang menyatakan pengumuman tersebut tidak munasabah dan tiada justifikasi dari segi teknikal.
Negara-negara Eropah amat bergantung kepada sumber tenaga Rusia kerana negara tersebut merupakan negara pengeluar gas asli terbesar di Eropah.
Pada masa yang sama, blok barat telah menuduh Moscow menggunakan tenaga tersebut sebagai senjata untuk membalas kepada sekatan yang dikenakan ke atas Rusia selepas berlakunya pencerobohan ke atas Ukraine.

Rusia telah menyambung semula bekalan gas kritikal ke Eropah melalui Jerman menerusi Nord Stream selepas membekukan bekalan selama 10 hari untuk penyelanggaraan.