21.9 C
Malaysia
Friday, April 19, 2024

Cara Bajet Untuk Melancong

Mesti Baca

Bila sebut tentang percutian, pasti semua teruja. Melancong sememangnya menyeronokkan jika tidak mempunyai sebarang masalah terutamanya kewangan.

Bayangkan anda sedang menikmati percutian di pulau yang indah, sambil menjamu mata dengan dengan melihat kehidupan laut dalam air yang jernih, menikmati angin sepoi yang nyaman. Pastinya mengasyikkan.

Bagaimana pula dengan pemandangan dan keindahan di luar negara seperti yang sering disiarkan di media sosial dan juga kaca televisyen? Pasti kita juga berangan-angan untuk melancong ke seluruh negara namun mempunyai kekangan kewangan menjadi penghalangnya. Sememangnya melancong merupakan antara hobi yang mahal dan sukar bagi sesetengah kelompok untuk melaksanakannya.

Namun masih tidak mustahil untuk anda merealisasikan angan-angan atau hobi anda jika mencuba pelbagai tips bajet untuk melancong.

1. Cari destinasi dan masa yang sesuai

Perkara pertama yang paling penting adalah destinasi. Anda boleh memilih destinasi yang ingin dikunjungi mengikut masa yang sesuai. Perlu menitikberatkan pemilihan tarikh untuk mengelakkan peak season, musim yang dipilih jika ingin ke luar negara, dan elakkan waktu tengkujuh sekiranya merancang ke tempat seperti pantai atau laut.

Anda haruslah lebih peka dengan perkara sebegini sebelum membuat sebarang tempahan tiket penerbangan mahupun tempat tinggal bagi mengelakkan bayaran yang mahal dan juga keselamatan anda.

2. Pilih tempat tinggal budget seperti Homestay

Ya homestay! Kenapa bukan hotel? Mesti ada dikalangan anda mahukan keselesaan dan kemudahan seperti di hotel. Namun pun begitu, tidak kurang juga keselesaan jika tinggal di homestay. Terutamanya jika anda melancong bersama keluarga pastinya lebih menyeronokkan kerana lebih luas, selesa,mempunyai ruang santai televisyen, tempat memasak dan sebagainya. Malah lebih jimat jika dibandingkan dengan hotel.

Luangkan sedikit masa anda untuk mencari tempat-tempat homestay yang disyorkan melalui platform yang boleh dipercayai seperti Airbnb, Traveloka dan Booking.com.

3. Elakkan makan di tempat mahal

Pastinya makanan juga mempunyai daya tarikan sangat tinggi untuk setiap pelancong. Ini kerana setiap tempat mempunyai keunikan tersendiri dari segi rasa, jenis dan setiap hidangan mengikut masyarakat setempat juga berbeza-beza.

Alternatif lain adalah anda selidik dahulu tempat-tempat makanan yang lebih murah berbanding tempat viral seperti yang sering disyorkan jika ada. Contohnya “street-food” atau kedai makan restoran biasa.

Selain itu, anda juga boleh masak sendiri sekiranya memilih untuk tinggal di homestay. Ini adalah cara terbaik untuk jimat dan dijamin kebersihannya. Sekali sekala boleh sahaja untuk menjamu selera diluar untuk merasa pengalaman yang berbeza di tempat orang tetapi bukanlah setiap masa sepanjang percutian.

4. Cari penginapan kawasan yang strategik

Anda boleh memilih tempat penginapan anda berdekatan dengan destinasi yang ingin anda lawati atau tempat strategik yang menarik. Ini boleh mengurangkan kos pengangkutan anda dari satu tempat ke satu tempat. Selain itu anda juga berjaya menjimatkan masa dan boleh pergi kesemua tempat wishlist yang ingin dituju dalam tempoh yang singkat.

5. Cari tempat percuma untuk dikunjungi

Bukanlah anda tidak boleh melancong tempat yang berbayar, tetapi rebutlah peluang percutian ini untuk melawat tempat tarikan pelancong dimana kemasukkannya adalah percuma.

Jika anda sering melawat tempat-tempat percuma sebegini anda boleh menggunakan lebihan wang anda untuk membeli cenderamata dan berbelanja untuk makanan.

6. Cari kad atau kupon untuk pelancong

Anda boleh selidik dan cari setiap negara atau negeri mempunyai promosi tertentu untuk pelancong. Seringkali tawaran kepada pelancong jauh lebih murah dan jimat seperti kemudahan awam dan kupon di kedai makan juga diberi diskaun. Bagi sesetengah tempat mereka menyediakan bus di dalam bandar secara percuma untuk pelancong bergerak dari satu destinasi ke destinasi pelancongan yang lain.

Anda juga boleh membuat pembelian online seperti di Fave.com untuk merebut kupon yang lebih murah jika dibandingkan harga walk in di kaunter. Tambahan pula, kini banyak syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Digi, Celcom menawarkan pelbagai deals hebat dan baucer untuk makanan, tempat tinggal dan tempat pelancongan. Jadi ambillah peluang yang ada sekiranyan anda mempunyai kelebihan sebagai pelanggan. Jika anda rajin membuat persediaan awal dan merancang setiap destinasi yang hendak dituju pasti banyak yang anda boleh jimat.

Dan akhir sekali tips yang paling penting untuk berjimat ialah stick to the plan. Kita kena ikut perancangan dan disiplin dengan apa yang kita rancang. Pasti anda gembira dengan percutian yang menarik dan menjimatkan. Selamat Mencuba!

- SOSIAL MEDIA -spot_img

Artikel Selanjutnya

- SOSIAL MEDIA -spot_img

Artikel Terkini